Penerbit filem pendek dibantu

Wednesday, 1 June 2011

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my
2010/10/06


Wakil SSFFa dari Jepun dan juga perwakilan dariMalaysia ketikamajlis pelancaran baru-baru ini.


FINAS sedia mengeluarkan perbelanjaan untuk membawa ke festival antarabangsa
PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan membantu penggiat filem pendek untuk membawa filem arahan mereka ke Short Shorts Film Festival & Asia Japan atau SSFFA.

Ketua Pengarahnya, Mahyidin Mustakim pada majlis perasmian SSFFA berkata, FINAS juga mengeluarkan perbelanjaan untuk membawa filem pendek tempatan ke festival tahunan bagi memperkenalkan lagi karya tempatan ke peringkat dunia. 

SSFFA yang bermula pada 1999 di Harajuku, Tokyo diadakan di sini sebagai usaha untuk memperkenalkan filem pendek bermutu dari seluruh Asia kepada karyawan filem tanah air.

Penganjuran SSFFA yang diadakan di sini buat pertama kalinya berlangsung dari 1 hingga 3 Oktober lalu di FINAS. Festival selama tiga hari itu diisi dengan 26 tayangan filem pendek dari 13 buah negara antaranya Australia, Jepun, Norway, Belanda, Perancis, United Kingdom, Pakistan termasuk juga karya tempatan.

Selain itu, festival selama tiga hari itu turut diisi dengan taklimat berkaitan penulisan skrip filem pendek oleh Yasu Tanaka salah seorang pakar dalam penulisan skrip.

Turut diadakan simposium mengenai Apakah Filem Antarabangsa dan Apakah Maksud Filem Pendek. Panel yang terbabit ialah Martias Mohd Ali wakil dari Malaysia, Seigo Tono (Jepun), Alfonso Torre III (Filipina) dan Royston Tan (Singapura).
“FINAS sentiasa berhasrat untuk membimbing dan membentuk generasi pelapis bagi menyambung usaha karyawan filem arus perdana yang aktif ketika ini. Kami beranggapan, penganjuran festival ini akan menjadi medan terbaik untuk mencungkil bakat, kesungguhan dan idea kreatif pembuat filem pendek yang kebanyakannya terdiri dari pelajar perfileman dan golongan dewasa.

“Kami berbesar hati menganjurkan SSFFA buat pertama kalinya di sini kerana pengiktirafan yang diberikan kepada festival itu sebagai satu acara Anugerah Academy oleh Academy of Motion Pictures Arts and Science di Amerika Syarikat.

“Selain itu, penganjuran festival ini juga dapat memberi pendedahan kepada pembuat filem tempatan mengenai kaedah dan mutu penerbitan filem pendek luar negara. SSFFA juga boleh menjadi medan pertemuan di kalangan pembuat filem dalam dan luar negara berkumpulan dan seterusnya menggerakkan idea, pemikiran serta saling bertukar kepakaran dalam bidang penerbitan filem pendek,” katanya.

Wakil Pengerusi SSFFA, Seigo Tono berkata, mereka menerima 5,000 penyertaan filem pendek setiap tahun yang dihantar dari seluruh dunia. Katanya, jumlah penyertaan yang diterima bertambah setiap tahun, lebih-lebih lagi sejak penganjuran mengenai festival itu diumumkan menerusi laman web Anugerah Academy.

“Kami bekerjasama dengan FINAS bagi menganjurkan SSFFA sebagai usaha untuk merapatkan lagi hubungan kedua negara. Pada masa sama, kami juga mengetahui bahawa FINAS memiliki studio canggih bagi kemudahan penggiat filemnya.

“Selain Malaysia, kami juga pernah mengadakan festival ini di Myanmar, Mexico dan di Los Angeles. Setiap tahun, kami membuka penyertaan bermula dari Ogos hingga Disember. Jumlah penyertaan setiap tahun begitu memberangsangkan. Bagaimanapun kali pertama dianjurkan di sini, kami hanya memilih 26 filem pendek yang terpilih untuk ditayangkan,” katanya.

Tiga karya tempatan yang turut ditayangkan pada festival berkenaan ialah Bye-bye Birdei oleh Akashdeep Singh, The Invigilator oleh Manesh Nesaratnam dan Eyefinger daripada Margaret Bong.

Filem arahan Alfonso Torre III yang memenangi anugerah terbaik SSFFA tahun lalu berjudul Bonsi turut ditayangkan pada festival berkenaan.